Melihat koleksi 40 gambar hitam putih hasil bidikan seorang jurugambar berketurunan Cina-Melanau, Dennis Lau, aku menyifatkan dia sebagai seorang yang sangat bersungguh-sungguh memelihara budaya nenek moyangnya untuk tatapan generasi akan datang.

Karya-karya yang dipamerkan di Balai Seni Visual Negara bertemakan ‘Classic Image of Borneo’ mengisahkan pengembaraannya di Sarawak dan Sabah tentang kehidupan bersama orang tempatan selama lebih lima dekad.

Pada tahun 1950 an dan 1960 an, ketika kebanyakan jurugambar komersil gemar ‘melakonkan semula’ momen di depan mata, Dennis sebaliknya lebih selesa lensanya merakam detik yang ada secara lebih spontan.

Seni fotografinya berjaya mengangkat intipati gaya hidup yang semakin pupus dengan lebih berintergriti.

Karyanya berjaya memelihara satu legasi warisan budaya dari Borneo.

Masyarakat yang dipotretnya pelbagai; Murut, Bajau, Dusun/Kadazan dan Rungus yang menghuni bahagian Timur, Persisiran Pantai Barat dan pedalaman Sabah. Di Sarawak pula, dia menjelajah dari Ulu Baram, Ulu Rajang, Batang Lupar, Ulu Ai, Lemanak, Ulu Tatau hingga ke Ulu Kemena semata-mata untuk menyelami kehidupan harian melalui rakaman bergambar daripada kaum Bidayuh, Iban, Kajang, Kayan, Kelabit, Kenyah, Melanau, Kedayan, Penan, Bukitan dan Sebop. Dennis cenderung menjadi seorang jurugambar semasa bekerja sebagai pembantu makmal kepada jirannya yang menjalankan perniagaan memproses filem.

Dia kemudiannya aktif mengambil gambar pada tahun 1952 menggunakan kamera ‘kotak’ yang hanya mampu mengambil 12 keping gambar. Dennis melatih untuk ‘melihat’ gambar yang sempurna di dalam mindanya dahulu sebelum memetik kamera.

“Kamera itu hanyalah lanjutan dari mataku untuk melakukan rakaman,” katanya. Sejak 10 tahun lepas, dia mula memproses kebanyakan negatif filemnya bagi menghasilkan ‘contact print’ dan pembesaran sebelum ia lupus. 80% gambar yang dipamerkan dalam pameran ini adalah hasil daripada cetakannya di dalam bilik gelap di rumahnya sendiri. Satu pameran yang wajib dikunjungi oleh semua pencinta seni fotografi bagi menghargai karya yang tidak ternilai.

 

Laporan oleh Supian Ahmad
Maklumat pameran boleh dilawati disini

 

Supian Ahmad

Supian Ahmad

Photojournalist NSTP

Beliau adalah wartawan foto (photojournalist) untuk NSTP.

Selain bergiat dalam fotokewartawanan, beliau juga meminati genre foto jalanan (street photography). Beliau adalah pemilik dan kurator untuk laman streetmalaya.blogspot.my satu laman web memaparkan hasil karya-karya hebat foto jalanan oleh karyawan tempatan.

Beliau juga adalah co-founder Dekadegear (www.facebook.com/DekadeGear/), produk aksesori fotografi untuk photojournalist.