Pameran Foto ‘Shoot. Print. Share.’ 2018 yang berlangsung di pusat membeli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor mendapat sambutan hampir 8,000 penyertaan dalam usaha merebut hadiah wang tunai sehingga RM100,000.

Bertemakan ‘My Favorite Story’, program berkenaan telah diiktiraf sebagai pameran foto terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records.

Sebanyak 8,000 keping gambar dipamerkan kepada pengunjung meliputi pelbagai kategori seperti bangunan, pemandangan, makanan, permainan, tarian, seni tradisional dan gaya hidup.

Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia, Fumiaki Sato berkata, pameran yang memasuki edisi kedua itu bertujuan menggalakkan dan memelihara budaya mencetak gambar serta memecahkan halangan komunikasi serta menyatukan masyarakat melalui aktiviti fotografi.

“Kami berharap dapat mencapai matlamat ini dengan mewujudkan ruang di mana jurugambar, pakar dan ‘trend setter’ serta orang ramai boleh bertemu dan mengadakan dialog mengenai fotografi.

“Setiap gambar mempunyai nilainya yang tersendiri. Gambar yang berbeza daripada pelbagai latar belakang dapat membantu melengkapkan penceritaan,” katanya.

Fujifilm pada masa yang sama telah memilih 111 foto terbaik daripada 8,000 penyertaan.

Seramai 10 pemenang telah dipilih berdasarkan kreativiti dan penceritaan yang baik.

Ia seterusnya diterbitkan bersama buku koleksi edisi terhad sebagai tanda penghargaan.

Sebagai rekod, pada tahun lalu, sebanyak 5,000 foto dipamerkan kepada hampir 70,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Idea pameran foto itu diilhamkan melalui Pameran Foto ‘PHOTO IS 50,000’ yang dianjurkan oleh Fujifilm Corporation di Jepun sejak 13 tahun lalu.

 

Laporan oleh Supian Ahmad
Gambar oleh Aini Mohd