kat rumah mak, aku yang sedang terbaring di bilik tersentak bila anak aku hannah dan nasriyah menjerit, “atok! atok!” … bingkas aku bangun keluar dan sementelah itu aku nampak kelibat berbaju biru di celah tulang pintu yang terbuka. bergegas aku menuruni tangga untuk melihat siapa yang anak aku nampak tadi. dalam hati di balik degup jantung yang keras dek kerana berlari masih memikirkan mengapa anak aku memanggil atok… di tingkat bawah akibat perubahan cahaya dari kelam ke terang benderang, aku dapat lihat susuk tubuh berdiri menunggu aku di balik silau kesiangan. dan untuk seketika bayangan susuk tersebut semakin jelas dan nampak dia melangkah ke hadapan aku yang masih termangu berdiri dan ya allah, abah rupanya! aku meluru dan terus memeluk abah erat dan aku ulang entah berapa kali, “abah, abah, abah… abah…” dan suara yang amat aku kenali dan ya, yang amat, amat aku rindui berbisik ke telinga aku tatkala kami berpeluk, “abah ada, abah ada di sini”.

ya tuhan… betapa lah aku nak sangat dengar suara abah, dan kali ini betapa jelas dan jitu segala perinci suara abah yang biasa aku dengar dulu hinggakan aku rasa seolah abah benar-benar berbisik kat aku. kami lepaskan keakraban tadi aku aku lihat wajah abah, yang mengingatkan aku akan abah 20 tahun lepas. nampak lebih muda dan ya allah, abah nampak amat ceria. mimpi apakah ini? mimpi apakah aku tadi? tersedar aku dan masih terngiang-ngiang bisikan yang amat mengesan. jam di tangan menunjukkan pukul 4 pagi dan aku terbaring di katil yang abah biasa baring dulu, isteri di sebelah lena diapit hannah dan nasriyah. kami sekeluarga bermalam di rumah mak, sempena cuti panjang hari buruh dan hari wesak. cermat aku bangkit dan melangkah ke ruang tamu lantas aku duduk di kerusi malas kegemaran abah sambil melihat tingkap; langit dinihari hampir menunjukkan warna birunya. mimpi apakah aku tadi ya allah?

 

menjengah ke bilik sebelah, mak pun lena bersama tiga anak lelaki aku beralaskan tilam kekabu di bawah. sebelahnya tergulung sejadah mak; lantas aku ke bilik air untuk berwuduk dan memanjangkan doa untuk abah. moga dilapangkan dan diterangkan kuburnya ya allah. moga dihimpunkan bersama-sama orang-orang yang beriman.

 

 

 

Sumber: Naza Hamed

Naza Hamed

Naza Hamed

Jurugambar Profesional & Pereka Bentuk Grafik

Fotografi merupakan hobi sejak sekolah menengah.
Namun ia menjadi satu nilai tambah terhadap kerjaya sebagai Pereka Bentuk Grafik (Graphic Designer) dalam membantu kerja-kerja kreatif dalam bidang pengiklanan dan penerbitan buku.
Terdorong dalam genre foto-dokumentari terutamanya dalam skop sosio kemasyarakatan.
Banyak menggunakan imej hitam putih sebagai medium komunikasi dan sebahagian besarnya menggunakan filem dan diproses sendiri.

Terlibat dalam beberapa pameran di galeri sekitar Kuala Lumpur dan pada September 2015, dijemput oleh Bangkok University untuk mengadakan pameran fotografi di Bangkok Arts and Culture Centre (BACC) mewakili Malaysia sempena Asian Economic Summit dengan membawa siri gambar Penjara Pudu.