Pertama kali aku mengetahui Kinabalu Photo Festival (KPF), bila melihat di FB Haji Shamshahrin Shamsuddin mengajar kelas “Fotojournalistik” (Photojournalism) di KPF beberapa tahun sudah. Aku tidak pasti tahun bila, tetapi jika tidak salah pada tahun 2016. Beberapa mentor ternama fotografi dari Malaysia & Indonesia terlibat dalam program itu. Sebut sahaja nama Agah Permadi dan Ahmad “Deny” Salman, adalah dua orang figura besar dari Indonesia ini cukup memberikan makna kepada anjuran festival ini. Tuan Agah Permadi ini cukup terkenal dengan hasil karyanya melalui Photoshop dan dianggap guru digital editing terbaik yang ada di Indonesia. Bukan sahaja di Indonesia, acap kali Agah Permadi dijemput mengajar di Malaysia. Tuan Deny Salman selain seorang fotojournalis, beliau juga seorang kurator dan juga salah seorang orang kuat di PannaFoto Institute, adalah satu organisasi NGO fotografi berprestij yang berpusat di Jakarta Indonesia. PannaFoto Institute ini juga adalah salah satu organisasi yang menganjurkan “Jakarta International Photo Festival” (JIPF). Bila aku melihat senarai nama mereka yang menjadi mentor, terus terlintas di benak pemikiran aku, berapakah kos telah dihabiskan, memandangkan mereka ini pengerasnya pasti tidak murah. Itu belum termasuk, belanja penginapan dan juga belanja penerbangan mereka pergi dan balik (sebagai seorang akauntan, sudah pasti kos belanja menjadi keutamanku).

Lagi sekali, tahun lepas jika tidak salah selepas KPF 2018, semasa berteh-tarik bersama Supian Ahmad (Ian), Syai, Adli Ghazali, dan Jidin serta Zul Ilford Galery, Ian telah bercerita beliau akan terlibat di KPF sebagai peserta. Aku terasa sedikit cemburu, sebab beliau berkemampuan dari segi masa untuk menyertainya. Asbabnya setiap kali KPF berlangsung, ianya akan memakan antara 9 sehingga 10 hari

 Tahun ini, bila Jebat Photography Club (JPC), penganjur dan pengerak KPF membuka penyertaan kepada peserta luar Sabah, tanpa berfikir panjang aku menghantar namaku. Semestinya, siapa yang tidak ingin mengambil peluang untuk berguru dengan guru-guru fotografi yang hebat. Lagipun di Malaysia, amat sukar untuk mencari bengkel fotografi yang menganjurkan genre foto dokumentari atau fotojournalistik. Walaupun yuran penyertaannya murah, tetapi untuk layak menjadi peserta, calon perlu menghantar portfolio mereka untuk dinilai. Memandangakan aku bukannya seorang fotografer professional dan juga tidak bekerja dalam bidang fotografi, amat sukar untuk aku memenuhi kriteria tersebut.

Aku memilih untuk mengikuti kelas “Foto Dokumentari” yang akan di ajar oleh Taufan Wijaya. Bila disebut namanya dikalangan fotojournalis, namanya cukup terkenal kerana telah menerbitkan beberapa buku rujukan mengenai fotojounarlistik. Beliau adalah seorang pensyarah universiti dan juga fotojournalis bebas. Dan mereka berkata aku amat beruntung kerana dapat mengikuti kelasnya. Di KPF 2019, tiga lagi nama hebat menjadi mentor selain dari Taufan Wijaya. Dari Malaysia, sudah semestinya Tuan Haji Shamshahrin Shamsuddin, bekas fotojournalis agensi antarabangsa EPA yang kini adalah fotojournalis bebas. Kali ini beliau mengajar subjek “Esei Foto” (Photo Essay). Dari Indonesia, selain Taufan Wijaya yang mengajar kelas Foto Dokumentari, Agah Permadi dan Ahmad “Deny” Salman menerima jemputan lagi menjadi mentor di KPF2019. Agah Permadi seperti biasa mengajar subjek kepakaran beliau manakala Deny Salman pula kali ini mengajar subjek “Cerita Foto” (Photo Story).

Hari Pertama

Aku sampai di Kota Kinabalu, sehari awal dari tarikh kelas Taufan bermula. Perjalanan yang sedikit memenatkan kerana penerbangan di awal pagi. Memandangkan kelas hanya bermula esoknya, aku melibatkan diri didalam program-program yang dijalankan. 

Terus terang ingin aku katakan aku kurang menyiapkan diri sepenuhnya untuk menyertai program ini. Alasan mudah untuk aku katakan aku salah diri aku yang amat sibuk dengan kerja hakiki di pejabat. Di sini aku baru memahami struktur pembuatan menghasilkan foto dokumentari. Rupanya terlalu banyak perlu dilakukan sebelum dan juga semasa pembikinannya. Barulah aku memahami kenapa satu-satu penghasilan itu memakan masa bertahun-tahun dan sungguh rumit. Itu belum lagi proses permilihan gambarnya termasuk gambar pembuka dan penutupnya. Disini juga aku mempelejari secara asas perbezaan antara foto esei, cerita berfoto (photo story) dan lain-lainnya.

Melihat dan mendengar permbikinannya secara teori, bila masa dipraktiskan, ianya amat sukar untuk dilaksanakan. Kepandaian memetik picu kamera dan mengambil sudut yang cantik, bukan jaminan memudahkan kerja aku.

Tugasan Bermula

Waktu semakin suntuk. Muka peserta-peserta Taufan seperti tiada cahaya dihujung terowong. Masing-masing cuba ketawa tetapi nampak sangat dibuat-buat. Ada yang sanggup menempuh 4 jam perjalanan jauh seperti Uncle Nicholas, peserta yang paling senior hanya untuk merakam proses pembuatan Siga. Faris Faizal, salah seorang dari “fotografer pemerintah” pula sanggup berbelanja ratusan ringgit hanya untuk merakam kehidupan nelayan di Pulau Gaya. Peserta yang paling berpengalaman, Irwan Majid, fotojournalis The Malaysian Insights mula menunjukkan taringnya. Aku melihat proses penilaian mentor kami. Sungguh terperinci dan banyak soal jawab antara mereka. Kami tekun memerhati dan cuba memahami.

 Idea Yang Gagal

Idea pertama aku adalah mengenai Masjid USIA. Masjid ini lebih dikenali sebagai Masjid SDA. Masjid ini menjadi pilihan aku kerana sejarahnya. Masjid ini dulunya adalah sebuah Gereja milik Seventh Day Adventist sebelum ianya dibeli oleh pihak Pertubuhan Islam Seluruh Sabah. Aku membuat “shoot list”. Cuba mempraktis apa yang diajar. Dua kali aku pergi ke masjid ini untuk dirakamkan gambarnya siang dan malam. Dua kali juga bila aku persembahkan kepada mentorku Taufan, dua kali juga gagal untuk diterima. Ya tuan-tuan, diulang “GAGAL”. Watak Taufan yang lembut berkata-kata dengan ayatnya yang sungguh sopan tapi menghiris jiwa aku. Dia berkata-kata “Ada benda yang hanya memerlukan gambar untuk bercerita tetapi ada juga perkara yang memerlukan fakta untuk bercerita”, selepas itu dia tersenyum.

Aku menjadi “stress!!”, terus menuju ke Masada mencari katil untuk tidur. Tetapi mata aku terkebil-kebil melihat dinding. Aidi Sapri, rakan sekelas cuba membantu. Melihat yang lain berlumba-lumba menyiapkan tugasan, aku semakin tertekan. Hari semakin petang, walaupun badan bertambah penat berfikir mencari tajuk baru, aku gigihkan badan aku keluar dari Masada. Memandangkan Pasar Filipina hanya lebih kurang 900 meter dari Masada, aku menetapkannya sebagai destinasi aku.

 

Pasar Filipina

Hari semakin senja, aku membidik kamera pinjaman dari Canon dengan pelbagai hala. Sambil menguji keupayaan Canon EOS RF, aku menuju ke dalam Pasar Filipina. Tetiba mata aku terpandang ramai kanak-kanak kecil membawa beg plastik hitam. Yang paling kecil andaian aku mungkin 6 tahun. Ada yang sebaya anak aku si Fateh. Aku terasa pilu bila melihat mereka mendekati pelanggan-pelanggan memujuk membeli beg plastik mereka. Sedih bila diumur sebegini mereka perlu mencari rezeki. Aku mengikuti mereka dan merakam secara curi-curi. Ada yang nampak kepenatan, ada juga yang bermain-main.

Dalam perjalanan pulang ke Masada, melihat “message” di “whatsup group”, terus aku menuju ke tingkat 9 Wisma Bandaraya. Masing-masing sibuk dengan kerja masing-masing. Aku menunjukkan hasil kerja aku. Mentor aku tersenyum, sebutir perkataan menyentap lagi jiwa aku. Aduss, tidak cukup. Aku keluar lagi ke Pasar Filipina dan kembali ke Masada. Masih tidak juga mengcukupi. Tetiba Irwan, memberikan cadangan “Bang, cuba abang print gambar-gambar tu dan bagi kat budak-budak tu”. Malam itu selama 7 jam, aku ulak-alik 3 kali ke Pasar Filipina.

Pagi Ahad adalah hari terakhir program. Aku mengambil keputusan berjalan ke Sunday Market di Jalan Gaya sambil mengambil gambar. Suasana yang cukup meriah. Seronok pula rasanya. Hilang stress aku. Selepas itu, aku sambung berjalan ke Pasar Filipina pula. Mencuba nasib jika dapat bertemu mereka, tetapi gagal.

Aku buntu, dateline semakin hampir. Yang lain bertungkus lumus menyiapkan kerja. Gambar yang aku ingini masih tidak diperolehi. Sebelah petangnya, aku mencuba lagi nasib. Membawa bersama gambar-gambar yang sudah dicetak sebagai umpanku.

Budak Bakul

Sampai di Pasar Filipina, aku mencari mereka. Aku tunjukkan gambar-gambar itu kepada mereka. Berebut-rebut mereka ingin melihat wajah mereka. Sampai kecoh jadinya. Akhirnya aku berjaya memecahkan halangan komunikasi aku dengan mereka. Satu perkara yang amat aku sukar lakukan sebelum ini. Aku memberitahu tujuan aku disini sebelum menyerahkan gambar-gambar itu kepada mereka. Seronok sangat dapat berbual dengan mereka. Lama juga aku berbual sambil mengambil gambar-gambar yang diingini. Orang disini memangggil mereka “Budak Bakul”.

Aku meninggalkan mereka dengan keadaan sedih. Hujan renyai-renyai menambah kesayuan petang itu. “Budak Bakul” adalah anak-anak orang Palau ini, asalnya adalah dari laut yang tidak mempunyai warganegara. Apa yang dipinta dari mereka bukannya wang tetapi ilmu. Tiada sijil kelahiran menyukarkan mereka untuk duduk didalam kelas seperti kanak-kanak lain. Tiada satu sen wang mereka pinta dariku. Bagi mereka mungkin wang bukannya satu masalah bagi mereka.

Petang itu, aku pulang dengan hasil bidikan yang mengcukupi pada fikiran ku. Gambar dicuci untuk dipersembahkan kepada mentorku di malam nanti. Malam itu, adalah malam terakhir dan penutup KPF. Malam itu juga aku persembahkan kepada mentorku untuk dinilai. Alhamdullilah akhirnya gambar-gambar aku diterima.

Tamat KPF2019

Bagi aku, KPF adalah satu festival fotografi yang berprestij. Intipatinya sungguh berisi kepada yang mengetahui dan pandai menilai. Untuk terpilih dan mengikuti kelas-kelas disepanjang festival ini sudah kira beruntung. Untuk mengakhiri kelas dengan cemerlang bukannya satu perkara yang mudah. Ada antara kami yang lulus, ada yang gagal. Tetapi ilmu yang diperolehi amat sangat berguna kepada kami. Bercerita melalui foto seperti bercerita melalui perkataan, tetapi untuk ianya sampai matlamatnya kepada pembaca belum pasti lagi akan berjaya.

InsyaAllah, jika berpeluang lagi untuk menyertai KPF ini pada masa akan datang, pasti akan aku datang lagi. Sebab perjuangan aku belum selesai, banyak yang aku perlu perlajari lagi.

 

AHMAD SAFIR

AHMAD SAFIR

Tuan Tanah Jurugambar.com

AHMAD SAFIR adalah dasarnya adalah seorang Akauntan yang berpengalaman luas dalam pelbagai industri seperti Minyak & Gas, Information Technology, Kejuruteraan Marin, Pertahanan, Perbankan dan banyak lagi lebih dari 18 tahun.

Beliau meminati fotografi sejak kecil lagi bila beliau melihat gambar-gambar dalam majalah-majalah National Geographic yang dilanggan oleh arwah bapanya. Kamera pertama beliau adalah kamera filem Yashica Elektro 35 GSN yang beliau masih simpan sehingga kini.

Minat beliau dalam fotografi sangat tinggi dan keinginan beliau ingin melihat industri fotografi maju, dihormati dan bersatu, menyebabkan beliau menubuhkan media Jurugambar.com.