Sedikit perkongsian tentang acara pameran peribadi koleksi Phillip Jones Griffiths (PJG) bersempena sepuluh tahun pemergian beliau yang jatuh pada 19 Mac 2018. Pameran tersebut telah dianjurkan oleh Galeri TJ Boulting and Trolley Books, London dengan kerjasama Magnum Photos. Ia telah dihadiri ramai peminat fotografi dan saya sendiri telah berjumpa beberapa orang tutor dari University of the Arts London (UAL) di sana. Antara yang terlibat dengan pameran adalah dua orang anak perempuan dan isteri beliau.

Bagi yang belum mengenali Phillip Jones Griffiths, antara hasil jurufoto kewartawanan beliau yang terkenal adalah merupakan buku beliau bertajuk “Vietnam Inc.” yang menceritakan tentang konflik perang di Vietnam. PJG merupakan salah seorang jurufoto ahli bersekutu Magnum sejak tahun 1966 dan telah menjadi ahli pada tahun 1971. Pada tahun 1973 beliau telah membuat liputan tentang konflik Perang Yom Kippur dan kemudiannya bekerja di Kemboja di antara tahun 1973 dan 1975. Pada tahun 1977 beliau meluaskan liputan kerjanya ke Asia dari pangkalannya di Thailand. Beliau kemudiannya berpindah ke New York pada tahun 1980 untuk menjawat jawatan presiden Magnum, jawatan yang dipegangnya selama lima tahun.

Secara jujurnya, saya hanya mengetahui PJG sekadar nama dan status beliau sebagai seorang jurufoto Magnum. Tetapi dari pemerhatian dan penilaian saya melalui gambar, buku, video, koleksi peribadi, dan keluarga beliau, saya dapat rasakan yang PJG merupakan seorang individu yang bersemangat dan teliti dalam menghasilkan karya-karya beliau. Ideologi dan pendirian beliau antara yang membuatkan saya berfikir lebih mendalam dan menimbulkan pelbagai soalan dalam diri saya sendiri. Oleh sebab minda saya masih lagi dalam rangka memikirkan tentang kesejahteraan kanak-kanak lanjutan dari projek sukarelawan di rumah anak yatim di Russia baru-baru ini, serta dialog perbincangan mengenai laporan UNICEF bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: kaji selidik kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa Kuala Lumpur”, dan hasil karya PJG semasa konflik di Vietnam yang menonjolkan visual kanak-kanak yang terkena ‘Orange Agent’ membuatkan hati saya tersentuh. Ia sekaligus membuatkan saya berfikir betapa rakusnya manusia yang dahagakan kuasa dan hanya mementingkan diri sendiri. Yang paling menyedihkan, saya sendiri antara mereka yang mementingkan diri. Saya tidak cuba belajar menyelami mereka yang kurang bernasib baik, tidak membuat kerja-kerja sukarelawan melibatkan kebajikan dan tidak peka dengan keadaan yang berlaku di sekeliling saya. Saya juga menyalahkan diri saya sendiri kerana terlalu asyik dan lalai dengan melihat ‘kemewahan’ yang terpapar di media sosial membuatkan saya leka lalu terlepas pandang kepada mereka yang serba-serbi kekurangan.

 

Kesimpulannya, mari kita sama-sama belajar untuk membuka mata dan hati serta memperluas pemikiran kita untuk lebih sensitif dengan persekitaran kita. Gunakan segala kemahiran yang diperolehi samada fotografi, penulisan, pengucapan awam atau lain-lain kemahiran untuk membuat perubahan agar kehidupan kita di tanah air tercinta lebih harmoni untuk didiami oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira taraf, status dan sebagainya. Saya akhiri dengan dua kata-kata yang dipelajari dan saya pegang ia sebagai motivasi, Art is somehow a tool of reminding of our stupidity as human being. Art is lifeline to the reality – Lewis Biggs Dalam hidup kita, cuma satu yang kita punya, iaitu KEBERANIAN. Kalau tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini? – Pramoedya Ananta Toer.

Hafiz Zainol Shokor
www.hafizzainol.com
Pelajar Tahun 2 Fotografi
University of the Arts London (UAL)

Hafiz Zainol Shokor

Hafiz Zainol Shokor

Jurugambar Profesional

Fotografi dan saya tidak boleh dipisahkan. Ia diwarisi dari datuk saya kepada bapa saya, dan sekarang kepada saya. Sejak kecil, saya bermain dengan kamera. Saya benar-benar suka fotografi dan lebih banyak saya belajar, semakin menjadi menarik dan itu membuatkan saya ingin tahu lebih banyak lagi.

Dilahirkan di Malaysia, mempunyai kelulusan diploma dalam bidang fotografi di Malaysia dan sedang melanjutkan “Bachelor of Arts in Photography” di University of the Art London (UAL), United Kingdom.

Saya telah memulakan perjalanan dalam fotografi dengan mengambil gambar majlis keluarga seperti pengumpulan, majlis perkahwinan dan cuti. Fotografi komersil saya bermula pada 2011 apabila saya ditugaskan untuk mengambil gambar di dalam program TV Masterchef versi Malaysia.

www.hafizzainol.com