Kepenatan merebus lemang di kebun abah aku,
berdepan dengan bahang api dari tempurung kelapa bercampur kayu arang, aduh! mencabar sungguh hari terakhir ni.
bernasib baik duduk di bawah rimbunan pokok,
sekali sekala angin bertiup melepaskan terik matahari di celah-celah pohon yang terselak di atas.
sambil berbaring di atas tikar yang emak hamparkan sejak pagi tadi,
cahaya matahari dari celah pohon itu menyilaukan mata yang semakin layu.
sementelah itu tengok updates dari sepupu-sepupu dalam facebook dan jugak whatsapp masing-masing;
juga tengah sibuk menghadap lemang!
seperti berlumba-lumba siapa yang siap dulu.
gelagat anak-anak sedikit sebanyak menggembirakan hati,
wife pulak sibuk di rumah mengemas apa yang patut ditemani anak kecil, si niyaz.
nampaknya tahun nie aku dan anak-anak serta mak dengan abah jer yang bersiap ala-kadar untuk esok.
adik dengan abang aku dah balik ke kampung sebelah mertua.
dan lemang ini pula dah jadi menu wajib dalam keluarga sebagaimana hampir semua keluarga di negara,
cemana pon kena buat lah jugak.
pengalaman menolong pakcik-pakcik aku semasa di kampung dulu banyak membantu.
alhamdulillah…
namun kali nie ada sedikit kelainan yang meresahkan.
sejurus sebelum asar, kami semua bergilir ke bilik air untuk mandi dan menyejukkan diri,
sedikit sebanyak mengekang kekeringan tekak sejak pagi tadi.
abah terus ke katil dan terlelap, penat sangat agaknya.
selepas solat aku perhatikan abah tidur,
dengan helaan nafas panjang dan dalam,
aku akur, hakikatnya, abah dah banyak umur.
kedut kasar di tangan dan kakinya punya kisah.
uratnya mencantumkan seribu satu usaha dan kudrat yang tiada noktah dalam masanya membesarkan kami.
aku bersandar di dinding dalam rasa keresahan.
emak masih di dapur melayan cucunya,
aku dengan sedikit masa itu hanya tekun meniliti setiap jengkal tubuh abah.
aku terus di dodoi rasa resah dalam menerima hakikat ini.
esoknya aidilfitri, sekali lagi untuk tahun ini,
abah, aku salam dengan akrab,
segunung tutur tidak terucap,
namun kemasnya salam menyaksikan satu rasa yang mendakap.
abah dah tak selincah dulu.
umurnya membataskan kudrat namun semangatnya tetap melangit.
aku pula banyak memerhati abah pada hari terakhir ramadhan ini.
dengan mata dan jugak kamera aku.
hakikatnya, abah dah banyak umur.
abah hanya tersandar di kerusi memerhati api memakan saki baki kayu arang.
aku terus berbaring memerhati daun-daun meliuk lentuk di sapa angin kering terus melontar ingatan aku waktu dulu, abahlah yang paling sibuk waktu ini.
aku menjeling ke arahnya yang tersandar;
ntah apa yang difikirkannya ketika ini.
ada masanya angin membawa asap ke arah aku dan ya allah!
ada ketikanya aku cukup suka dengan bau kayu terbakar ini,
mengingatkan aku kat kampung!
ya tuhan, syukur alhamdulillah akan pertemuan ini, jadikanlah usia kami satu hikmah,
sisipkan rahmatMu seiring dengan ufuk malap nyawa kami dan
berkatilah kami yang sarat dengan hasrat ini.
aameen….
Catatan: Naza Hamed – 11 Ogos 2013
Sumber: Naza Hamed
Naza Hamed

Naza Hamed

Jurugambar Profesional & Pereka Bentuk Grafik

Fotografi merupakan hobi sejak sekolah menengah.
Namun ia menjadi satu nilai tambah terhadap kerjaya sebagai Pereka Bentuk Grafik (Graphic Designer) dalam membantu kerja-kerja kreatif dalam bidang pengiklanan dan penerbitan buku.
Terdorong dalam genre foto-dokumentari terutamanya dalam skop sosio kemasyarakatan.
Banyak menggunakan imej hitam putih sebagai medium komunikasi dan sebahagian besarnya menggunakan filem dan diproses sendiri.

Terlibat dalam beberapa pameran di galeri sekitar Kuala Lumpur dan pada September 2015, dijemput oleh Bangkok University untuk mengadakan pameran fotografi di Bangkok Arts and Culture Centre (BACC) mewakili Malaysia sempena Asian Economic Summit dengan membawa siri gambar Penjara Pudu.