Setiap tahun menjelang 31 Ogos, Ingatan pasti terlintas kepada foto hitam putih bapa kemerdekaan negara yang ikonik  dirakam 60 tahun lalu di Stadium Merdeka yang akan muncul dimana-mana media cetak dan elektronik.

Foto hitam putih paling ikonik buat Malaysia memaparkan gambar Perdana Menteri pertama yang juga dikenali bapa kemerdekaan,  Tunku Abdul Rahman Putra mengangkat tangan dan melaungkan ‘Merdeka’ antara paling diingati rakyat Malaysia.

Imej bersejarah ini paling popular kerana diulang cetak beberapa ribu kali selain turut diterjemahkan ke pelbagai medium mengikut kreativiti yang disampaikan oleh individu tertentu sebagai menghayati dan menghargai kemerdekaan negara. 

Sebagai seorang jurugambar, Penulis berminat untuk mengetahui insan dibelakang tabir yang berjaya merakamkan peristiwa bersejarah berkenaan yang disaksikan Raja-Raja Melayu, tetamu khas dari luar negara, serta rakyat jelata pelbagai kaum dan agama dalam suasana paling harmoni di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Kebanyakan gambar dirakam jurugambar banyak melakar liku-liku perjalanan, perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu sehingga kepada perjalanan membentuk sebuah negara merdeka. 

 

Imej ikonik dimaksudkan adalah dirakam jurugambar, Michael Wong Swee Lin, 91 yang bertugas di Jabatan Penerangan disimpan dengan baik dalam memori setiap rakyat Malaysia terutama menjelang sambutan kemerdekaan negara sepanjang tahun.

Wong menetap di Kuala Lumpur bersama isterinya, ketika bertemu dengannya semua pergerakannya dibantu isterinya kerana faktor usia Wong yang semakin uzur selain umurnya yang mencecah 91 tahun.

Daripada pertemuan berkenaan, isterinya yang ramah sempat menunjukkan beberapa keping gambar hitam putih yang dirakam Wong ketika beliau berkhidmat sebagai jurugambar suatu ketika dahulu.

Wong merakam gambar peristiwa bersejarah pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka menggunakan Speed Graphic Camera (gambar) malah saya sendiri belum pernah terfikir untuk dapat melihat peralatan berkenaan pada masa ini. 

Beliau mendapat keistimewaan sebagai jurugambar rasmi dengan kedudukannya di sebelah kanan pentas upacara memberikan kelebihan untuknya mendapat sudut berkenaan sepanjang upacara berlangsung bersama-sama jurugambar dan juruvideo luar negara ketika itu.

Tidak dapat dibayangkan keghairahan perasaan sesiapa sahaja ketika itu samada yang bertugas mahupun rakyat di Stadium Merdeka ketika saat indah upacara Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum ditukar kepada Malaysia pada 16 September 1957.

Oleh itu, setiap gambar peristiwa yang dirakam bukan sahaja mempunyai nilai sejarah atau sebagai satu  dokumentasi gambar tetapi turut menjadi warisan negara justeru ia perlu dipelihara dengan baik.

Menyingkap kembali pada pagi 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, suasana muhibah dan harmoni apabila rakyat jelata yang hadir tidak sekalipun berganjak dari tempat mereka walaupun hujan pada awal pagi belum reda.

Selepas anggota keselamatan daripada Tentera Persekutuan sudah bersedia di tempat masing-masing melibatkan tujuh batalion antaranya ketika itu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

Sebaik jam menghampiri 7.00 pagi keadaan cuaca semakin baik  menyaksikan ketibaaan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, Raja-raja Melayu, Yang di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Rahman dan yang terakhir wakil baginda Ratu England, Duke of Gloucester masuk dengan diiringi Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan yang akhir, Sir Donald MacGillivray.

Selepas kesemua Raja-raja Melayu berada dipentas upacara dimulakan dengan Duke of Gloucester menerima perbarisan hormat Diraja seterusnya lagu kebangsaan Inggris dimainkan buat kali yang terakhir dihadapan puluhan ribu rakyat.

Selepas ucapan ringkas wakil Queen Elizabeth II, Duke menyerahkan watikah Perlembagaan yang mengandungi surat kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke tangan Perdana Menteri sebagai berakhirnya naungan British keatas Tanah Melayu.

Seterusnya Tunku Abdul Rahman Putra pula membacakan watikah Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dengan diakhiri laungan ‘MERDEKA‘ sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka.

Sejurus itu bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan sambil lagu kebangsaan ‘Negaraku‘ berkumandang buat pertama kali. 

Menjadi saksi peristiwa, Michael Wong Swee Lim percaya tugasan beliau sepanjang merakamkan gambar memberi seribu makna yang besar dalam kerjayanya dan tidak akan terpadam dalam ingatan sebaliknya tersemat disanubari sampai bila-bila.

Dengan rakaman itu, sudah pasti Michael Wong boleh berbangga kerana imej berkenaan masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia sehingga ke hari ini.

Jesteru, penting bagi seseorang jurugambar untuk merakam peristiwa bersejarah yang mengandungi mesej bermakna apatah lagi membabitkan acara besar seperti kemerdekaan sesebuah negara seperti Malaysia.

Oleh itu, gambar ikonik bersejarah harus disimpan dan dipelihara dengan baik tanpa perlu menghilangkan identiti atau catitan yang terkandung pada gambar bagi tujuan penerbitan, visual dan  video, pendidikan atau kajian ilmiah pada masa akan hadapan.

Artikel ini ditulis pada 28 Ogos 2017.

SHAHRUL M ZAIN

SHAHRUL M ZAIN

Wartawanfoto NSTP

Shahrul M Zain. Foto Eksekutif di agensi berita The New Straits Times Press. Minat fotografi muncul ketika belajar dalam kursus Pengurusan Hotel dan Katering di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya dan mengambil keputusan untuk meneruskannya di Institut Kemahiran Belia Negara.

Memulakan kerjaya fotografi di Malaysia Japan Photo Service Bhd. Antara tugasan yang pernah diliputi ialah XVI Commonwealth Games 1998, World Islamic Economic Forum, China Asean Expo, Pilihan Raya Umum, Banjir besar di Johor 2016 dan 2017 dan juga beberapa liputan berita tempatan.