FUJIFILM Malaysia melancarkan model kamera digital tanpa cermin terbaharu dalam X series, X-T3 di Subang Jaya semalam.

X-T3 merupakan lanjutan daripada model X-T2 yang memiliki ciri merakam imej dengan lebih pantas dalam rangkaian X Series.

Masih mengekalkan ciri retro, X-T3 didatangkan dengan pelbagai ciri terbaharu termasuk pemproses X-Trans CMOS 4 yang merupakan generasi keempat dalam pemprosesan X series.

 

Ia sekali gus membolehkan pengguna merakamkan imej tiga kali ganda lebih pantas berbanding model sedia ada dan menepati kesesuaian dalam merakam imej pelbagai genre terutamanya sukan, fotografi jalanan serta komersil.

Siri kamera yang terkenal dengan kualiti imej serta teknologi penghasilan warna yang jelas itu pada kali ini juga berkeupayaan menghasilkan gambar beresolusi 26.1 mega piksel.

Ini adalah untuk mencapai tahap maksimum dalam penghasilan kualiti imej dan ketepatan fokus automatik (AF).

Ia juga berupaya untuk mengesan subjek yang bergerak menerusi mod “burst-free blackout”.

Tidak ketinggalan juga bagi pengguna video, X-T3 direka dengan kemampuan untuk merakam sehingga 10-bit 4K / 60fps.

 

Jika dilihat pada sejarah Fujifilm sebelum ini pada tahun 2012, pelancaran model X-Pro1 yang juga merupakan kamera digital tanpa cermin dilengkapi dengan sensor serta enjin pemprosesan imej yang dibangunkan secara dalaman.

Sejak itu, Fujifilm mula terarah untuk memperbaiki kualiti penghasilan imej pada tahap yang lebih tinggi.

Fujifilm juga tidak terkecuali dalam menempuh evolusi sebagai usaha untuk muncul sebagai salah sebuah syarikat yang menjadi ikutan dan pilihan pengguna dalam pasaran kamera digital tanpa cermin.

Majlis pelancaran dihadiri Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia Sdn. Bhd., Fumiaki Sato dan barisan jurugambar X Series termasuk Yaman Ibrahim dan Ban Hup Teh.

Pelbagai gambar menarik serta pengalaman dan tips turut dikongsikan bersama pengunjung sepanjang menggunakan X-T3.

X-T3 dijual dengan harga RM7,388 seunit dan RM8,688 bersama lensa.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web
http://www.fujifilm.com/products/digital_cameras/x/fujifilm_x_t3/specifications/

Laporan oleh Supian Ahmad